Nek Salleh Bin Daim

Nek Salleh Bin Daim

An Old Photo

An Old Photo
Sitting down from left to right 2nd: Zainab bte Wahab, Hajah Salamah, Hajah Hapipah bte Dagul (Latahim bte Tongkang), Hajah Lauyah, Hajah Halimah (writer's mother). Standing up from left to right: Hj. Wahab, Abdullah, Hj Abdul Hamid, Hj Abdul Karim

21 December 2014

Chapter 14: Si Koncai



SI KONCAI
Mukadimah:
Tulisan ini dihasilkan melalui pengumpulan nota-nota yang dicatit oleh ayah Haji saya semasa beliau menunaikan fardhu Haji bersama ibu Hajah saya pada tahun 1435 hijrah bersamaan dengan tahun 2014 masihi. Sejak kembali daripada Kota Mecca ayah Haji saya kurang memberikan tumpuan kepada penulisannya; maka saya kumpulkan nota-nota tersebut (dengan izin) dan membuatkan satu tulisan dalam bahasa. Setahu saya ayah Haji saya tidak gemar menulis dalam bahasa Melayu, mungkin disebabkan oleh kerana beliau berfikiran dan berpendidikan barat. Tujuan saya dalam hal ini adalah untuk memberikan gambaran dan panduan kepada yang berminat mengikuti perjalanannya dan berhasrat menunaikan fardhu Haji, di samping merakam perjalanannya sebagai suatu kenangan.

Tajuk tulisan ini ‘Si Koncai’ mungkin merupakan tajuk yang dipilih oleh ayah Haji saya, disebabkan saya sering berhubung dengannya dalam masa beliau menunaikan fardhu Haji.

Si Koncai
Catitan 1: 09.09.2014
Ada hujan-tiada hujan
Tiada hujan ada hujan
Datang ke kota Madinah dan ke kota Mecca … memnuhi impian dengan niat beribadat,…… berbekalkan nawaitu dan amalan-amalan, dan juga doa-doa saudara-saudara dan rakan-rakan dan meninggalkan amalan-amalan duniawi. Inilah impian saya sejak puluhan tahun dahulu. Tetapi agak rumit memenuhinya, kerana rasa takut kepada Allah. Seperti saya katakan kepada rakan-rakan jemaah Haji yang lain, “saya bukan orang baik-baik, dan pernah dapat banyak gelaran diri.”  Semasa solat di Masjid Nabawi seringkali, saya dilangkahi, ditolak dan pernah juga terkeluar daripada Saf’ semasa menunaikan solat fardhu dan pernah juga saya terhidu wangian tetapi bukannya daripada orang dikeliling saya yang agak jauh. Seringkali saya berkata kepada Jemaah Haji yang lain bahawa saya bertinjak kaki di bumi Madinah ini menemui impian. Alhamdulillah dan apabila keluar dari Kota Madinah ini bonuslah. 

Catitan 2:
Jangan disebut nama Allah,
Jangan disebut nama Kawan
Jangan disebut nama Diri Sendiri

Tabiat saya, saya akan merokok setengah batang rokok dan memasukkan selebihnya ke dalam poket, dan bersama isteri saya akan berjalan sebelum waktu subuh ke masjid Nabawi untuk menunaikan solat. Suatu Subuh apabila menghampiri kawasan Masjid Nabawi, isteri saya menuju ke kawasan bahagian Jemaah Hajah di Masjid Nabawi sementara saya berjalan terus menuju ke kawasan Jemaah Haji. Demi untuk mengelak tersentuh dengan Jemaah Hajah saya berjalan perlahan dan ternampak seorang Jemaah Haji yang seolah olah memangil saya duduk dekatnya dan merokok, dan saya keluarkan rokok yang tinggal setengah batang tadi dan terus merokok. Kata-kata tersebut di atas adalah merupakan kata-kata daripada beliau yang merupakan pesanan guru beliau (kemungkinan Jemaah Haji ini daripada perguruan Pesentran dari Balik Papan, Indonesia).

Dengan terkejut dan dengan perasaan ditewaskan oleh Jemaah Haji muda daripada Indonesia, saya dengan tenang bertanyakan samaada beliau sudah berumah tangga dan punya zuriat. Beliau memberikan jawapan “sudah tapi belum punya zuriat dan tidak ada sebarang tanda”. Dengan secara spontan saya menunjuk kearah Masjid Nabawi, dan berkata, “Pergilah ke seberang sana dan apabila kamu sujud memohonlah kepadanya”. Dengan bersalaman kami pun berpisah dengan mengucapkan salam,”Jika ada umur kita akan berjumpa kembali”.

Sebelum Azan Subuh saya pun mengerjakan solat-solat sunat termasuklah solat sunat Istiharah dan kemudian berjemaah menunaikan solat fardhu subuh dan solat-solat sunat yang lain dan apabila setelah selesai berjalan balik ke tempat penginapan kami Hotel Al-Haram sambil merokok, dan memikirkan kata-kata daripada Jemaah Haji tersebut. Apabila sampai di bilik untuk beristirehat saya ceritakan kata-kata tersebut kepada Ustaz Tokimin dan bertanya, “Boleh diterima kah”.

Catitan 3:
Di atas langit ada langit

Kebiasaannya selepas menunaikan solat subuh saya akan kembali berjalan dan berhenti di gerai-gerai berdekatan dekat kami menginap, minum Nescafe dan makan roti canai Arab sambil berehat. Ketika inilah ada seorang jemaah haji daripada Palembang Sumatera Indonesia yang menuturkan kata-kata di atas kepada saya. Ini disebabkan saya berkata “tidak ada yang hebat di dunia ini”.


Catatan 4:
Hari tetap berlalu hinggakan masa untuk berlepas ke Kota Mecca tiba. Dengan debaran dan menggenakan ikhram, giliran kami menaiki bas menuju ke Kota Mecca. Di separuh jalan kami pun berniat mengerjakan umrah. Sampai di Kota Mecca ramai Jemaah Haji telah pun berhimpun; berjuta jemaah Haji berada di kota Mecca ini. Setelah mengambil tempat di asrama Janaariah kami pun mengerjakan Tawaf dan Sai’e, lepas itu bertahlul dan balik untuk bertukar pakaian biasa dan dalam hari2 berikutnya meneruskan ibadat kami. Dalam pada ini Ustaz Tokimin Jemaah Haji sebilik saya yang membimbing saya dan Jemaah Haji lain, dari sebilik.

Semasa di Madinah Jemaah Haji yang sebilik dengan saya ialah Ustaz Haji Tokimin Haji Ahmad dan Haji Awang Matasan. Semasa di Mecca rakan-rakan Jemaah Haji sebilik dengan saya ialah Ustaz Haji Tokimin, Haji Ahmad, Haji Muliayadi, Haji Pangeran Omar dan Haji Azmi.



Catitan 5
Manusia dicipta oleh Allah dengan sifat-sifat sama seperti sifat-sifat pepohon kayu, ada yang keras dan ada yang lembut:

“Ustaz, esok kita mandi sunat dan kemudian mengenakan ikhram dan solat dua rakaat. Selepas itu kita menaiki bas menuju ke Arafah dan sebelum sampai kita berniat Haji. Di Arafah kita akan Wukuf, Solat, berdoa dan mendengar Kutbah Arafah dan kemudian mabit di Muzalifah untuk mengutip batu dan seterusnya mabit lagi di Minah untuk melontar. Kita melontar di Jamrah Kabrah dulu dan kemudian bertahlul awal. Selepas itu bolehlah kita menukar pakaian dan kemudian pada hari-hari berikutnya (selama 3 hari) kita melontar di Tiga Jamrah. Kemudian kita balik ke asrama dan lepas itu mengerjakan Tawaf Haji, Solat Sunat, mengerjakan Sai’e dan berdoa dan selepas itu bolehlah kita bertahlul akhir, betul?” , tanya saya kepada Ustaz Tokimin, dan beliau menjawab, “Betul”. “Ustaz selepas Tawaf, Sai’e dan Tahlul Akhir sampailah saya sudah ke Ishak dan selebihnya Sunat sahaja. Bolehkah saya menggunakan satu doa sahaja?”.”Boleh” jawab Ustaz Tokimin, “Setengah doa pun boleh, nanti banyak-banyak doa Allah tidak tahu mana hendak dimakbulkannya” jawab Ustaz secara bergurau. “Selepas sampai ke Ishak saya hanya perlu menunggukan satu rukun sahaja lagi, betul Ustaz?” Dengan kebingunggan Ustaz Tokimin berkata, “Rukun Islam cuma lima perkara manada enam.” “Ada” jawab saya, “kan kita ini miliknya, kalau dipanggil dengan seruan ‘piwit’ maka sampailah kita menunaikan rukun yang keenam.” Suasana di bilik menjadi riang.
                                                            
Kata-kata di atas adalah yang dikeluarkan oleh rakan Jemaah Haji daripada daerah Matunggung semasa kami wukuf di Arafah mungkin disebabkan saya tidak menindahkan untuk berbaring mengikut arah Kiblat, kerana saya berpendirian saya hanyalah Makmum.



Catitan 6
Tidak ada yang hebat disini

 Kami terpaksa berjalan sejauh lebih kurang 7km untuk pergi melontar dan melalui tiga terowong bawah tanah. Di sini kami tinggal dalam khemah dan Jemaah Haji berpisah dengan Jemaah Hajah. Jemaah-jemaah daripada Negara-negara Balkan seperti Afganistan, Kazakstan dan lain-lain tinggal di lereng-lereng bukit dan ada yang berkhemah di mana ada kawasan yang kosong, kerana sewa penginapan di sini amat mahal. Mereka mandi dan membersihkan diri di tandas awam berdekatan dengan khemah kami. Amat sukar untuk mandi, membuang air besar dan kecil , bersugi dan berwhuduk disebabkan kekurangan tandas. Tidur pun di atas pasir beralaskan kanvas dan sejadah kecil kami yang bewarna hijau dan di dalam khemah keadaan cukup panas, ‘air-con’ yang ada sedikit sebanyak membantu. Jemaah-jemaah yang hendak pergi melontar berpuluhan ribu dan oleh kerana usia saya sebegini tenaga yang ada tidak mencukupi berbanding dengan tenaga saya yang ada di tanah air. Disinilah saya hampir tewas kepada keadaan dan teringat saya kepada Arwah-Arwah orang tua saya dan bertanya sendiri macamana mereka boleh mengerjakan melontar ini. Saya bernasib baik kerana Hajah saya memimpin saya sepanjang perjalanan pergi balik melontar. Di hari kedua melontar saya terasa amat penat dan berperasaan sampai di sini sahaja tetapi, Allah masih memberikan saya umur mungkin atas sebab-sebab tertentu, Walahualam….

Catitan 7
Kita Tawaf mengelilingi Baitullah tujuh pusingan secara melawan arah jam.

Setelah selesai mengerjakan melontar di Minah, kami kembali ke Mecca dan setelah berehat kami pun pergi ke Masjid Al-Haram untuk mengerjakan Tawaf Haji dan Sai’e Haji. Saya dengan menggunakan serban bersama Haji Ahmad dan isteri kami terus mengerjakan bersama, tetapi kemudian berpisah. Selesai mengerjakan Tawaf Haji dan Sai’e dan setelah berdoa kami pun meninggalkan Masjidi Al-Haram melalui pintu lain dan kami berpusing-pusing di sekitar Masjid membuat saya naik marah kerana keletihan dan tidak dapat mencari jalan yang sebenar yang menuju ke asrama kami. Apabila tersedar saya sambil tertawa dan menyatakan kepada isteri saya bahawa Allah mahu kita Tawaf dikeliling Masjid Al-Haram. Alhamdulillah kami menemui jalan kami ke asrama.

Hari-hari berikutnya adalah sama seperti hari-hari lain selepas kami mengerjakan haji. Makanan juga sama, routine ibadat juga tidak berbeza, hanya setengah Jemaah Haji mengerjakan Umrah berulang kali. Oleh kerana usia dan kudrat, saya memilih untuk mengerjakan Tawaf Sunat sahaja dengan Nawaitu tertentu. Begitu juga salah seorang Jemaah Haji daripada Hulu Klang Selangor dan kata-kata tersebut di atas adalah kata-kata beliau.

Burung-burung merpati yang sering bermain-main di perkarangan depan hotel pun mulai berkurangan. Tidak menghairankan burung-burung merpati di sini agak berpasangan. Ada merpati jantan yang nampak gagah dikelilingi sampai empat merpati betina, sama gelagatnya dengan gelagat Jemaah Haji; berpasangan dan ada yang berbini lebih dari satu, saya difahamkan. Saya teringatkan Haji Zulkifli mungkin daripada Negeri Sembilan yang selalu bertutur dengan lembut dan juga kepada Haji Hassan yang seringkali bertanyakan soal-soal berkaitan dengan Mukhrifat, mereka lebih arif tetapi sentiasa merendah diri.

Kadangkala tabiat di tanah air kita, kita terbawa ke sini, misalnya, tabiat suka membuat aduan, di Kota Mecca ini tabiat tersebut juga terbawa. Saya selalu marah dan juga suka ‘window shopping’ dan di sini tabiat-tabiat tersebut agak nyata sama seperti tabiat merokok saya. Tabiat saya yang suka menegur dan tabi kepada orang juga terbawa ke sini dan setiap orang yang lalu atau duduk bersama saya sering kali member salam dan menegur saya, hinggakan saya berkata kepada Haji Shuib, “Kalah-kalah lagi Y.B” dan dengan ketawa beliau menjawab, “Kalah Y.B”. Pada pendapat saya di sini di Kota Mecca ini kekuatan kita adalah kelemahan kita.

Kami sempat menziarah Kota Jeddah yang amat moden dan melihat Laut Merah. Saya sangkakan Laut Merah airnya merah, tetapi tidak, ianya hanya merujuk kepada sejarah Nabi Musa yang merentasi laut tersebut. Apa pun kami sempat Solat Zohor di satu Masjid di pinggir Laut Merah.



Catitan 8
Tiada kelihatan bintang dan bulan dan matahari, tetapi ada Nur

Hari tetap berlalu dan seperti biasa kumpulan yang perokok termasuk saya antara ahlinya seringkali selepas Asar merokok di perkarangan hotel dan berbual sambil bertukar pendapat. Bagi Jemaah Haji yang dating daripada Kota Jeddah dan terus ke Kota Mecca untuk menunaikan ibadat Haji kebiasaannya mereka akan singgah di Kota Madinah selama beberapa hari sebelum balik ke tanah air. Kami yang dari Kota Madinah dan kemudian ke Kota Mecca untuk menunaikan Fardhu Haji akan kembali dari Kota Jeddah. Setiap Jemaah Haji akan menunggukan penerbangan atau bas yang akan membawa mereka ke destinasi masing-masing. Mengerjakan Fardhu Haji mengambil masa sekitar 45 hari hingga 60 hari, tetapi ada juga Jemaah Haji yang mengerjakan fardhu Haji sekitar dua minggu tergantung kepada kemampuan.

Kadangkala seringkali semasa kami berkumpul Jemaah Haji akan bertanyakan kampung halaman dan lain-lain dan apabila hendak balik ke tanah air mulalah berjenaka dan ramai yang berasa sedih . Haji Mat Panjang Jemaah Haji daripada Negeri Selangor bertanyakan kepada saya, “Haji, bila balik?”. Saya jawab, “24 hb bertolak ke Jeddah dan seterusnya kalau tidak ada apa-apa halangan akan tiba di Kota Kinabalu pada 25hb Okt.”. “Oh, saya dah keliling kampung Haji, naik motor, makan nasi lemak. Haji ikut KT32 lah tu”, sambil ketawa diikuti ketawa Jemaah-jemaah Haji lain.

Makanan di sini kurang sesuai untuk kami orang-orang tua, dan saya memilah untuk makan roti. Saya teringat kata orang tua saya semasa menunaikan Fardhu Haji dulu bahawa roti di sini jika dibaling ke dinding roti tak pecah, membuatkan saya ketawa kerana kebetulannya.

Semasa saya menunaikan Fardhu Haji saya tidak terlihatan bintang, bulan ataupun matahari tetapi cahayanya ada. Langit seringkali kelihatan cerah, ada juga hujan tetapi terasa titisan sahaja. Panasnya cukup makan tetapi pakaian tidak basah oleh keringat.

Masa tetap berlalu dan saya sudah sampai ke Ishak. Setelah mengerjakan Tawaf Wada kami pun meninggalkan Kota Mecca munuju ke Kota Jeddah dan seterusnya berlepas ke tanah air dengan membawa kenangan dan ramai yang berhasrat akan kembali menjejakkan kaki di Kota Madinah dan Kota Mecca.


Disusun oleh Edy Johariyz Bin Haji Said
21 Disember 2014